Followers

Tuesday 17 September 2013

Pengertian Hari Malaysia paling penting



TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia di Padang Merdeka di Kuching, semalam. Turut sama, Yang Dipertua negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng (empat dari kiri) dan isteri Toh Puan Norkia; Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor; Muhyiddin Yassin, Abdul Taib Mahmud dan isteri, Ragad Kurdi Taib (kanan). - UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN

KUCHING 16 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, makna sebenar sambutan Hari Malaysia tidak harus dinilai berdasarkan bilangan pengunjung atau penganjuran majlis yang penuh gilang-gemilang semata-mata.

Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, perkara lebih utama yang perlu diberi perhatian adalah sejauh mana pengertian detik-detik bersejarah itu dapat dihayati rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kata beliau, sekiranya rakyat benar-benar menghayati peristiwa pembentukan Malaysia dan bagaimana hari tersebut membawa pengertian penuh makna kepada mereka, Hari Malaysia pasti menjadi meriah dengan cara tersendiri.

"Perkara ini perlu diukur dari segi hati sanubari setiap rakyat Malaysia, khususnya Sarawak sama ada keputusan yang dibuat generasi terdahulu melalui Suruhanjaya Cobbold 50 tahun lalu untuk menjadi sebahagian daripada penyatuan negara lebih besar adalah satu keputusan tepat.

"Hari ini, bila kita tanya hati kecil, kita merasakan keputusan para pengasas Malaysia 50 tahun lalu sememangnya amat tepat. Sebab itu hari ini, kita menyaksikan sambutan Hari Malaysia dengan penuh kemeriahan, penuh kesyukuran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Perayaan Hari Malaysia Ke-50 di Padang Merdeka, di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan mencemar duli menyerikan majlis yang berlangsung penuh adat istiadat itu.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah Abdullah serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor;

Turut menyerikan majlis, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Najib dalam pada itu berkata, kemeriahan sambutan Hari Malaysia kali ini turut mencerminkan kegembiraan rakyat terhadap kecemerlangan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara selama 50 tahun serta keyakinan mereka terhadap kewibawaan parti itu untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Perdana Menteri turut melahirkan keyakinan bahawa hubungan erat antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sarawak dalam satu ikatan politik sama iaitu BN mampu memastikan Sarawak terus maju pada masa hadapan.

Sambil menyifatkan hubungan erat tersebut sebagai contoh permuafakatan politik yang baik, beliau turut mengulangi ikrar bahawa kerajaan Pusat akan terus membantu mentransformasi Sarawak menjadi sebuah negeri maju serta berpendapatan tinggi.

"Ada beberapa perkara yang mahu kita lakukan untuk tahun-tahun mendatang, iaitu mengukuhkan jati diri dan rasa bangga rakyat bahawa Sarawak merdeka dalam Malaysia serta menyelesaikan saki-baki agenda pembangunan supaya negeri ini setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung," katanya.

Berita ini disediakan oleh Utusan Malaysia Online :-
© Utusan Melayu (M) Bhd

ZH Blogger



2 comments:

  1. Replies
    1. hari Malaysia utk kita semua Tenku Butang. Kita anak malaysia. Hehehe

      Delete